Wednesday 19 October 2011

Bukan senang jadi guru


Assalamualaikum...

Guru kerjanya sangat mudah. Datang pagi, tengah harinya sudah melenggang pulang. Kerjanya separuh hari. Cutinya setiap hujung minggu. Cutinya panjang. Guru wanita dapat pula tambahan cuti bersalin. Gajinya, aduh lumayan sekali. Itulah guru pada anggapan sesetengah masyarakat umum. Sebenarnya, kerjaya sebagai seorang guru lebih daripada yang disangkakan. Tambahan pula dengan hambatan budaya teknologi maklumat yang begitu pantasnya sekali.


Kerjaya sebagai seorang guru bukannya senang. Memang benar, semua orang boleh mengajar. Contohnya, guru sandaran tidak terlatih. Hari ini dilantik, esoknya terus mengajar di kelas tanpa mendapat apa-apa latihan. Hanya penerangan ringkas oleh Guru Besar atau Pengetua sewaktu dia melapor diri di sekolah. Itupun kalaunya berlaku sedemikian, kalau tidak pandai-pandailah sendiri bertanya daripada guru-guru lain.


Kerjaya mengajar ada seninya. Namanya seni mengajar. Guru yang ada seni mengajar akan mampu memahamkan anak ajarnya (selalu disebut anak didik) dengan mudah apa-apa sahaja yang diajarkannya. Inilah yang tidak dapat dilakukan oleh kebanyakkan orang di luar lingkungan sekolah.


Selalu kita dengar ungkapan, guru umpamanya lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi kegelapan orang lain. Guru umpama obor atau kini lampu kalimantang yang menerangi alam kegelapan. Tanpa guru, tidak mungkin lahirnya seorang doktor, peguam, polis, jurutera ataupun Perdana Menteri. Setiap tahun semasa sambutan Hari Guru, sajak yang ditinggalkan Sasterawan Usman Awang sentiasa dilaungkan.


Untuk menjadi guru yang baik, hubungan dan interaksinya bukan sekadar di bilik darjah. Lebih daripada itu, guru mampu berinteraksi dengan ibu bapa, murid-murid, pemimpin setempat, ahli belia, dan anggota masyarakat. Di samping itu, guru mesti sanggup menghambakan diri untuk memikul sebarang tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak sekolah. Tiada ungkapan ‘tidak boleh’ atau ‘tidak sanggup’ dipaculkan dari mulut seorang guru, lebih-lebih lagi dari mulut seorang guru muda yang baru setahun jagung dalam dunia pendidikan.


Walau bagaimanapun, dalam kita sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keluhuran dunia keguruan, tanpa kita sedari dunia keguruan telah melalui pelbagai rintangan sesuai dengan arus globalisasi dan kemodenan negara. Guru-guru telah menjadi sasaran dan tohmahan serta sering dipersalahkan sekalipun dalam hal-hal yang kecil. Banyak isu yang membabitkan guru di dedahkan di dada-dada akhbar walaupun isu yang boleh diselesaikan secara permuafakatan.


Guru-guru perlu sedar dan akur bahawa ilmu keguruan adalah ilmu sepanjang hayat. Ilmu keguruan tidak statik. Ilmunya tidak tamat apabila saja menerima segulung diploma atau ijazah dari Institut Perguruan atau universiti. Maksudnya, seseorang guru hendaklah sentiasa berada di dalam suasana pembelajaran secara formal ataupun tidak formal. Semakin lama seseorang itu berada dalam dunia keguruan, semakin matang dan bertambah fahamlah dia akan peranannya sebagai seorang guru. Dengan kematangan dan kefahaman tugas yang jelas, segala isu yang timbul akan dapat diperbetulkan. Masyarakat tidak lagi keliru dengan peranan guru dan boleh menerima seadanya.


Peranan guru bukan sahaja sebagai mengajar, tetapi pendidik. Sebagai pengajar, guru menyampaikan segala ilmu yang berkaitan sukatan pelajaran. Mereka mengajar untuk memastikan murid-murid lulus dalam peperiksaan. Sebagai pendidik, peranannya bukan sekadar mengajar tetapi memastikan murid-murid mempunyai sahsiah peribadi dan tahap disiplin yang unggul. Guru mahu melihat anak-anak didiknya bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi lebih dari itu cemerlang budi bahasa dan tingkah-laku. Walau bagaimanapun, guru jangan lupa untuk memperbetulkan dirinya terlebih dahulu. Jangan jadi seperti pepatah Melayu, ‘Ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan dirinya berjalan mengiring’.


Untuk mencapai tahap disiplin yang unggul di kalangan murid, guru-guru terpaksa melaksanakan pelbagai peraturan dan menghadapi pelbagai rintangan. Adakalanya peraturan tersebut mendapat tentangan daripada ibu bapa dan masyarakat. Sebagai seorang yang professional, guru perlu melaksanakan peranannya dengan berhemah. Guru tidak cepat melatah apabila timbul sesuatu isu atau kontraversi. Guru umpama span yang sentiasa menyerap air. Guru perlu banyak berdiplomasi dan mengelakkan hal-hal yang sensasi. Akhirnya, guru akan kembali berada di tahap tinggi dan dihormati dalam masyarakat.- TAMAT-

Kiriman:
ABD MANAF BIN MAT,
Kuala Lipis,
Pahang Darul Makmur.

dipetik dari:


THANKS FOR YOUR READING =)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...